Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Adakah masalah lupa merungsingkan anda? Itu sudah pasti,
bukan? Sekiranya anda dapati anda sering kali lupa apa yang telah dibaca,
maka tahniah!! itu tandanya anda manusia normal. Hasil kajian telah
menunjukkan 80% dari apa yang kita baca hari ini akan lupa hanya dalam masa 24
jam.
Jangan
cari alasan. Ramai pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak
belajar atau membuat ulangkaji terlalu awal. "Buat apa baca sekarang
esok lupa juga". Inilah kata-kata yang sering diucapkan.
Tahukah anda, sebenarnya anda tidak lupa, cuma anda belum melakukan cukup usaha
supaya anda tidak lupa. Mudah bunyinya bukan??
Sebenarnya
wujud perbezaan antara belajar awal dengan belajar waktu musim
peperiksaan. Anda perlu belajar awal untuk menyediakan nota-nota bermutu
dan untuk memahami setiap mata pelajaran dengan sebaik-baiknya. Jangan
risau kalau masih banyak yang anda belum ingat, yang penting telah banyak
tajuk-tajuk yang anda telah faham.
Fahami
apa yang dibaca. Memahami matapelajaran adalah langkah pertama sebelum anda
melakukan usaha untuk menghafalnya. Menghafal bahan yang tidak difahami
adalah perbuatan yang sia-sia. Sekiranya anda belajar awal, anda pasti
punya banyak masa dan berpeluang untuk bertanya kepada guru dan rakan-rakan
agar setiap kekeliruan dapat diatasi sebelum terlambat..
Setelah
anda benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda gunakan
setiap kali datangnya musim peperiksaan. Sediakan juga nota-nota poket
dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk semula kepada apa yang telah
dipelajari tanpa perlu membelek semula buku-buku asal.
Hafal
kata kunci. Ramai pelajar yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk.
Mereka cuba mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.
Contoh fakta:
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.
Pertama sekali pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan
kepada anda dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu,
tetapi bukan menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan 'dua
hemisfera' yang merupakan kata kunci kepada fakta. Sekiranya anda
ingat kata kunci ini pasti sahaja anda mampu menerangkan kepada orang lain apa
maksud disebaliknya. Sebab itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!
Pecahkan
kepada beberapa kumpulan kecil. Sekiranya anda terpaksa
menghafal terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya serentak. Tidak
perlu terburu-buru. Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut kepada
beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan ini.
Misalnya,
kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta ini kepada 3
kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai hanya 5 fakta. Baik,
sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan yang 15 fakta atau
kumpulan yang mengandungi 5 fakta? Lihat! mudah-mudahkanlah pekerjaan
anda. Sekali lagi jangan terburu-buru. Mempelajari bahan-bahan
akademik memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.
Sering
membuat imbasan. Satu lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah
menguasai tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali ulangkaji. Awal-awal
lagi telah dibuktikan bahawa 80% daripada apa yang telah dipelajari akan lupa
dalam masa 24 jam. Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut
dalam masa yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa mengulang baca
keseluruhan tajuk sekali lagi dimusim peperiksaan. Untuk menjadi
seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat seimbas apa yang telah anda
baca dari semasa ke semasa secara sistematik. Petua dibawah boleh
digunakan dan terbukti berkesan:
- Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.
- Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.
- Imbas 5 minit setiap 2 minggu.
- Imbas 5 - 10 minit dimusim peperiksaan.
Gunakan teknik-teknik ingatan. Untuk memudahkan lagi
proses mengingati fakta, anda perlu ada kemahiran tertentu seperti teknik mnemonik,
teknik menggambar cara, teknik ceraian dan pelbagai lagi. Pastikan anda
kembali ke sini setiap minggu sebab pelbagai topik berkaitan dengan ingatan
akan dimasukkan dari semasa ke semasa.
Elakkan
dari tidur petang. Ini lagi satu penyakit. Tidur selepas waktu Asar akan
melembabkan otak anda. Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat
tidak digalakkan. Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini. Kalau
anda letih, tidur sahaja sebentar selepas solat zuhur, ini sunnah Rasulullah
s.a.w. Badan akan terasa lebih bertenaga untuk belajar diwaktu malamnya
nanti.
Ajarkannya
kepada orang lain. Cari peluang untuk mengajarkan apa yang telah anda
ketahui kepada orang lain. Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan
kumpulan. Hanya dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji
penguasaan anda terhadap satu-satu tajuk. Raikan setiap soalan dan hujah
daripada rakan. Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya dengan
cara inilah otak anda mula bekerja lebih keras untuk mencari jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan